Hari ini saya nak ceritakan bagaimana lima (5) modul dalam program Train The Trainer (PSMB Certified Trainer) digunakan dalam mengendalikan program latihan.
Modul Pertama, Plan Adult Learning.
Ini adalah asasnya. Jika kita dalam bidang latihan dan market kita adalah majikan yang mencarum kepada HRDF, maka peserta yang kita akan dapat sudah pastinya terdiri daripada orang dewasa profesional (professional working adults).
Cara berfikir serta keperluan professional working adults tidak sama dengan usahawan (entrepreneurs), tidak sama dengan graduan menganggur (unemployed graduates) dan tentunya tidak sama dengan pelajar sekolah.
Walau bagaimana pun, keupayaan mengendalikan orang dewasa profesional ini insyaAllah akan membolehkan kita mengeluarkan strategi bagi kepelbagaian audience peringkat dewasa.
Dalam modul ini, kita didedahkan dengan perbezaan andragogy dan pedagogy, learning styles (termasuk VARK, multiple intelligence, experiential learning, dll) dan strategi mengolah cara mengajar mengikut audien.
Modul Kedua, Conduct Training Needs Analysis
Training Needs Analysis (TNA) adalah kesinambungan langsung kepada modul Plan Adult Learning. Ini kerana, dalam modul Plan Adult Learning, seharusnya kita sudah sedia maklum bahawa peserta program latihan yang terdiri daripada professional working adult hanya akan mengambil perhatian perkongsian yang memberikan manfaat kepada dirinya sahaja. Oleh yang demikian, TNA perlu dijalankan supaya pengisian program latihan itu memenuhi keperluan peserta program latihan.
Pendek kata, nak ajar orang, kena tahu dulu orang itu nak belajar apa.
Jika kita gagal melakukan TNA, kita akan berhadapan dengan risiko jadi “trainer syok sendiri”. Dan inilah yang kita mahu elak daripada berlaku, terutama apabila melibatkan yuran latihan yang datangnya daripada duit yang dibuat tuntutan dari HRDF.
Modul TNA ini memberi pendedahan asas kepada konsep mendapatkan maklumat sahih dan keperluan latihan berasas – bukan pilih topik sebab suka ataupun sebab topik dipilih kerana sudah menjadi tradisi (tiap-tiap tahun buat).
Latihan perlu tepat memenuhi jurang kompetensi antara tahap keupayaan sekarang dan tahap keupayaan sasaran. Latihan perlu dirancang berdasarkan TNA dan bukan “petik dari langit”.
Di sini juga kita akan didedahkan dengan pemahaman bahawa latihan bukan penyelesaian ajaib yang mujarab untuk semua masalah prestasi pekerja. Ada yang perlu intervention (campur tangan) berupa non-training (bukan latihan) seperti keperluan infrastruktur atau pun perubahan polisi.
Ilmu dalam modul ini penting supaya kita tak buang masa menjalankan latihan yang akhirnya tidak membuahkan hasil.
Modul Ketiga, Design Competency Based Training Programme
Membina program latihan berasaskan kompetensi sangat mudah jika kita telah melakukan Training Needs Analysis (TNA).
Bagaimana pula jadi mudah?
Apabila ada TNA, kita hanya perlu menyenaraikan apa yang perlu peserta dapat bagi membolehkan mereka mengisi jurang kompetensi antara tahap keupayaan sekarang dan tahap keupayaan sasaran – ini menjadi modul latihan kita.
Dalam modul ini, anda akan pelajari strategi training methodology yang sesuai untuk menyampaikan pengisian latihan, apa sumber latihan (training resources) yang perlu disediakan dan bagaimana menapis mengikut keutamaan supaya content dapat mencapai objektif latihan.
Yang penting di sini ialah memahami apa yang ada disebalik template yang diperlukan PSMB (bagi proses tuntutan yuran latihan) dalam penyediaan outline program latihan.
Modul ini juga merupakan build up daripada Plan Adult Learning (Modul Pertama) kerana kita perlu aplikasikan pemahaman perbezaan learning style peserta dalam memilih training methodology (pendekatan) yang berpadanan untuk kepelbagaian audience yang terdiri daripada professional working adults dan perancangan teliti diperlukan bagi memastikan program latihan berkesan.
Sekiranya kita ingin bina modul dan program latihan sendiri, ilmu ini penting untuk dihadam.
Modul Keempat, Conduct Competency Based Training Programme
Penekanan modul ini ialah mengendalikan program latihan berasaskan kompetensi. Ini bermakna, fokusnya ialah peningkatan kompetensi (keupayaan) peserta, bukan sekadar naik semangat, bukan sekadar ada kesedaran, bukan sekadar menyampaikan maklumat. PSMB mahu training yang dikendalikan perlu menghasilkan peningkatan keupayaan pekerja yang menjalani program latihan itu – barulah berbaloi gunakan wang yang ditabung dalam HRDF.
Dalam modul ini, strategi mengendalikan program berasaskan kompetensi tidak membataskan kebolehan mengendalikan training berasaskan bakat seseorang trainer. Pemahaman yang mahu dicapai melalui modul ini ialah, sekiranya seseorang trainer itu menjalankan teknik-teknik tertentu dalam sesi latihannya, insyaAllah, peserta akan dapat meningkatkan kompetensi mereka dalam skop khusus yang menjadi tajuk topik latihan.
Penekanan bukan kepada public speaking skills (kemahiran pengucapan awam) sahaja tetapi kepada kemahiran merancang dan menjalankan perancangan dengan mempelbagaikan pendekatan kerana pemahaman konsep adult learning – berfikir dan buat bersebab, bukan buat sebab suka-suka.
Dalam modul ini, kita akan tahu bezakan strategi pendekatan untuk membolehkan peserta ingat, faham, aplikasi atau pun menilai sesuatu subject matter (topik fokus latihan) selaras dengan objektif latihan tersebut.
Modul Terakhir, Assess Participant’s Competence
Jika kita pentingkan keberkesanan program latihan yang dijalankan, modul ini penting untuk kita fahami.
Di dalam modul ini, kita akan diperkenalkan dengan Kirkpatrick model bagi mengukur keberkesanan program latihan. Kita akan faham kenapa borang penilaian itu perlu, kenapa perlu buat ujian pra dan pasca latihan, bagaimana menyediakan senarai semak untuk mengukur perubahan sikap selepas sesi latihan dan kesan impak latihan di tempat kerja.
Secara praktikalnya anda akan melalui ujian penilaian keupayaan (competency assessment) bagi mengendalikan sesi latihan (ujian amali program TTT) dan kriteria penilaian adalah berasaskan Conduct Competency Based Training Programme (Modul Keempat) yang mana telah dipelajari, sekaligus menentukan kefahaman modul tersebut.
Secara keseluruhannya modul-modul TTT ini berhubung kait antara satu sama lain dan proses pembelajaran selama lima (5) hari adalah satu simulasi pengetahuan, kemahiran dan sikap wajib ada pada seseorang trainer.
Ia amat sesuai sebagai mukadimah kepada dunia latihan dan secara peribadi, saya rasa kursus wajib untuk para trainer dan juga pegawai yang terlibat dalam pengurusan program latihan.
Sijil TTT sebagai pengiktirafan PSMB hanyalah “cherry on top” kepada apa yang kita dapat daripada menyertai program latihan ini.
Bina asas yang kukuh dan betul, kemudian carilah ilmu tambahan sesuai dengan jurang kompetensi kita sebagai trainer. InsyaAllah, kita akan dapat bertahan lama dalam industri ini.
Dan perlu diingat bahawa “trainer perlu ada TTT PSMB” ini adalah syarat yang dikenakan untuk majikan yang mencarum ke HRDF membuat tuntutan bagi yuran latihan yang dibelanjakan untuk kakitangan warga Malaysia. Oleh itu, topik, isi kandungan, pendekatan dan peserta sasaran ialah yang bersesuaian dengan keadaan di atas. Topik-topik motivasi dan bina semangat tidak menjadi keutamaan PSMB, sebaliknya mereka mahu majikan lebih menitikberat kepada topik peningkatan keupayaan kecekapan (competency enhancement) bersesuaian dengan matlamat melahirkan tenaga kerja berasaskan pengetahuan (knowledge based workforce). Jadi, jangan salah faham jika training yang sedang anda jalankan tidak tertakluk kepada syarat ini – market anda berbeza sebenarnya.
