“Bagaimana nak tahu yang usaha kita berjaya dalam networking?”
Selain dapat hasil dalam bentuk “job” atau balik modal setelah berbelanja untuk hadir sesi networking, kita boleh ukur progres kita dengan melihat di mana kita berada dalam sesuatu “fasa networking”.
Sebagai trainer, kita sedia maklum bahawa keberkesanan sesuatu inisiatif latihan dapat diukur dengan perubahan peserta dalam bentuk “observable behaviour”, maka kaedah yang sama boleh kita gunakan dalam menentukan hasil usaha networking kita.
Fasa 1: Familiarity
Dalam fasa ini, orang mula kenal wajah kita. Apabila berjumpa, raut wajah mereka memberikan ekspresi yang menggambarkan mereka pernah berjumpa kita sebelum ini.
Fasa 2: Recall
Pada fasa ini, mereka boleh ingat sendiri di mana mereka pernah jumpa kita. Adalah bonus jika mereka turut boleh ingat nama atau apa-apa ciri positif mengenai diri dan bisnes kita.
Fasa 3: Attention
Tanda-tanda kita sudah masuk fasa ini adalah apabila mereka bertanya kepada kita soalan-soalan pengesahan mengenai bisnes kita. Biasanya soalan-soalan ini merupakan soalan-soalan yang membantu mereka mendalami pemahaman mereka, bukan soalan-soalan mencari jawapan sebab mereka tidak ingat atau terlupa.
Fasa 4: Promoting
Dalam sesi networking, pastinya kita jumpa ramai orang. Ada di antaranya, kita tidak kenal tetapi orang lain kenal. Apabila sudah berada dalam fasa ini, kita akan diperkenalkan kepada orang yang kita tidak kenal itu. Tahap keyakinan dan kepercayaan mereka kepada kita telah mencapai tahap yang cukup untuk kenalkan kita. Mereka dapat mewakili (represent) atau memperkenalkan diri kita dan bisnes kita dengan betul kepada orang lain. Inilah sebabnya kenapa kita perlu pastikan kita dan bisnes kita mudah diingati orang dan kenapa “fokus pada satu” itu adalah formula yang bagus untuk diamalkan. Situasi paling ideal adalah jika kita diperkenalkan kepada “decision maker” yang kita cari-cari.
Fasa 5: Opportunity
Networking adalah satu usaha berterusan dan jarang sangat, kecuali benar-benar bernasib baik, kita akan terus dapat job. Namun, jika kita bersedia, insyaAllah peluang itu akan timbul pada masanya. Jadi, fasa ini adalah fasa yang mana perkenalan kepada “decision maker” tadi membawa kepada peluang untuk kita dapat “request for proposal”. Inilah matlamat utama dalam networking. Selebihnya adalah keupayaan kita melakukan tindakan susulan dan “follow up” agar dapat terjemahkan peluang kepada job (hasil). Beri diri sendiri peluang yang terbaik dengan sentiasa bersedia.
Kesimpulannya, kita boleh rujuk fasa-fasa ini untuk melihat tahap networking kita. Jika kita pergi dengan pola fikiran “saya mahu jual”, memang sukar untuk rasa puas hati menghadiri satu-satu sesi networking. Namun, jika kita pergi untuk sama-sama “memberi”, kita akan lebih mudah diingati, disukai dan dipercayai orang.
Trainers need to educate more than sell. Selamat ber’networking!’
