Sebelum kita memberi, kita terlebih dahulu perlu memiliki.
Semasa mula-mula ingin menjadi trainer, saya fikir bakat bercakap adalah kemahiran utama yang perlu ada. Saya seronok melihat kepetahan “pakar motivasi” yang diundang di kaca televisyen.
Walaupun arwah bapa saya sudah mula menjalankan program-program latihan sewaktu saya remaja, saya tidak perasan kerja balik tabir yang beliau pernah lakukan seperti membeli buku-buku rujukan dan membaca hampir setiap hari sehingga lewat malam. Mungkin sebab waktu itu, belum timbul minat mahu mengikut jejak langkahnya.
Hanya apabila saya mula menjejak kaki dalam dunia latihan secara rasmi, barulah saya nampak dan faham apa yang lebih utama.
Kita tidak boleh “beri” benda yang kita tidak “miliki”.
Yang paling utama, sebagai trainer, kita perlu memiliki kompetensi. Pertama, kompetensi dalam “subject matter” yang disampaikan. Kedua, kompetensi dalam pembangunan modul. Ketiga, kompetensi dalam teknik latihan. Akhir sekali, kompetensi dalam menilai keberkesanan latihan. Hanya setelah memiliki kompetensi-kompetensi ini, barulah boleh memberi latihan. Apabila sudah “miliki”, barulah ada harapan untuk “kuasai”.
Selain kompetensi, ada juga perkara-perkara lain yang trainer perlu “miliki” sebelum memberi.
Yang sering terlepas pandang adalah “hak”. Hak menggunakan tajuk topik (biasanya di”ambil” daripada buku), hak menggunakan visual (biasanya di”ambil” daripada internet) dan hak menggunakan idea orang lain (biasanya di”ambil” daripada pemerhatian).
Saya sendiri tidak perasan kesilapan-kesilapan saya ini sehinggalah saya belajar mengenainya. Sebenarnya banyak perkara yang kita gunakan dalam latihan yang kita “beri” itu, bukan “milik” kita.
Mungkin ada yang beranggapan, “alaa, benda baik, apa salahnya.”
Perlu diingatkan, bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Kita mahukan rezeki yang berkat, kita perlu usahakan sebaik mungkin agar ia tidak terpalit dengan hal-hal yang boleh mencemarkannya. Sebahagian daripada amanah saya sebagai trainer yang menjalankan program persijilan Train The Trainer HRD Corp (dahulunya HRDF) adalah untuk memastikan hal ini diperbaiki. Sebab itu saya sering sebut, jadi trainer bukan sekadar memiliki “sijil HRDF” (termasuk sijil Exempted HRDF).
Kenal mana yang betul, biasakan yang betul. Kenal mana yang salah, elak dan cegah yang salah. InsyaAllah kita semua akan selamat.

