Belajar daripada kesalahan diri sendiri dan daripada kesilapan orang lain.
Semasa saya memilih untuk jadi Freelance Trainer sepenuh masa, saya hanya ada satu strategi sahaja iaitu memperkenalkan diri kepada seberapa ramai syarikat penyedia khidmat latihan (TP).
Silapnya, fokus saya adalah untuk dapatkan “job” dan bukannya membina “brand positioning” yang betul. Tambahan pula dengan sifat topik berbentuk “soft skills” yang sememangnya meluas dan ramai saingan.
Kesannya, saya dapat purata 3 sesi latihan sebulan tetapi saya tidak punyai kawalan halatuju kerjaya. Ke mana TP tolak, ke situ saya pergi. Ada hari saya mengajar Bahasa Jepun, ada hari saya ajar Time Management, ada hari saya mengajar Communications, dan kebanyakkan hari saya buat Team Building.
Pada amatan saya “busy is good”, sehinggalah saya bertemu dengan satu TP di Pulau Pinang yang memberikan saya tips yang “menyelamatkan” impian dan kerjaya saya.
Dalam perbualan bersama TP ini beliau mengesyorkan saya “fokus kepada satu” – ini akan memudahkannya “menjual” saya kepada klien-kliennya. Katanya, “Sebagai TP, saya ada ramai ‘associate trainers’ dan sukar untuk saya ingat kesemuanya. Tetapi jika saya ingat awak dengan satu kepakaran atau topik atau industri, saya akan mudah untuk syorkan awak kepada klien saya.”
Itulah “aha moment” yang menjadi “turning point” kerjaya saya sebagai Trainer.
Sebelum itu silap saya adalah saya “tidak mudah lekat” dalam fikiran TP sedia ada dan terpaksa selalu mencari TP baru untuk dijadikan rakan kolaborasi. Saya pernah berikan Trainer Profile saya kepada lebih 30 syarikat penyedia khidmat latihan dan aktif sebagai Associate Trainer dengan 13 TP pada satu-satu masa, namun saya hanya muncul dalam fikiran mereka selepas saya bertanya khabar atau terjumpa mereka di mana-mana.
Selepas saya tukar strategi dan “fokus kepada satu”, jumlah hari latihan saya meningkat 50% walaupun hanya aktif berkolaborasi dengan lebih kurang 5 TP sahaja.
Mudahkan kerja orang (ingat dan jual) dan kerja kita (dapat job dan conduct training) akan lebih mudah, insyaAllah.
Mungkin ada yang akan bertanya, “Boleh survive ke kalau fokus pada satu saja?”
Saya juga faham kebimbangan “kalau-kalau tak cukup”. Perasaan ini sebenarnya lebih kepada psikologi berbanding fisiologi.
Memang tidak dinafikan, jika membuat penyelidikan untuk membina konten program latihan, kita patut rujuk pelbagai sumber. Selagi boleh, kita dapatkan banyak data dan perspektif kerana tujuannya adalah untuk pengukuhan.
Namun dalam strategi mahu orang ingat kita, “banyak” bukanlah sesuatu yang bagus. Rata-rata orang ingat kita sebab kita punyai satu-satu ciri yang unik. Strategi yang kita mahu gunakan sepatutnya menyokong kenyataan ini.
Ya, kadang-kadang kita tidak cukup yakin dengan satu poin sahaja sebab kita takut “kalau-kalau tak cukup”, jadi kita tambah. Kita tambah lagi maklumat, sampai orang tidak dapat kenalpasti yang mana poin utama. Dan apabila tidak dapat poin utama dan banyak sangat maklumat, orang jadi tidak ingat.
Ini tidak dibantu dengan perkataan “soft skills” itu sendiri yang kurang difahami orang luar bidang kemahiran insaniah. Maka, sebagai “soft skills trainer”, kita terpaksa huraikan. Kita ceritakan yang kita ajar komunikasi, kepimpinan, pembentangan, kerja berpasukan, motivasi, khidmat pelanggan, persediaan temuduga dan macam-macam lagi.
Kadang-kadang kita sendiri yang keliru sebenarnya. Apabila ditanya, golongan mana yang kita latih, kita jawab, “Semua” – korporat kita boleh, pelajar kita boleh, kakitangan kerajaan kita boleh, usahawan kita boleh, ibubapa pun boleh, anak-anak mereka pun boleh belaka.
Ya, saya pasti anda mampu menyampaikan banyak topik kepada pelbagai jenis audien. Saya pun, sewaktu muda dahulu perasan begitu.
Namun hakikatnya, pasti ada yang kita lebih mahir, lebih kukuh pengisiannya, lebih lancar penyampaiannya dan lebih dekat dengan audiennya. Jadi, bukankah lebih baik kita tumpukan usaha dan tenaga untuk meletakkan topik beserta “target audience” itu sebagai “brand positioning” kita.
Memang tidak dinafikan, untuk dapatkan “brand positioning” yang baik akan makan masa. Namun ia hanya boleh bermula selepas kita selami kekuatan serta keunikkan kita yang boleh ditawarkan.
Sebelum terlambat, elok cuba buat “review”. InsyaAllah kalau selesa dengan saya, saya akan cuba bantu. Cuma kena yakin dahulu yang “fokus kepada satu” itu cukup, insyaAllah.
