Sejak mula mengendalikan program persijilan HRD Corp Train-The-Trainer (dahulunya dikenali sebagai HRDF-TTT) pada tahun 2014, banyak kali saya bertemu dengan trainer sambilan dan mereka yang masih bekerja tetapi mempunyai cita-cita untuk bergerak secara sendirian dalam industri latihan tanahair. Sememangnya potensi dan saiz pasaran pasaran latihan di Malaysia cukup besar untuk menjadikan latihan sebagai sumber pendapatan utama. Saya sendiri pernah melalui fasa-fasa sebagai trainer yang bermajikan, freelance trainer dan kini sebagai salah seorang rakan kongsi dalam sebuah syarikat penyedia khidmat latihan.
Secara umumnya, masyarakat masih menganggap kerjaya seorang trainer ini tidak lebih daripada menjalankan sesi ceramah motivasi. Ini bukan salah mereka kerana pendedahan awal kepada “latihan” yang umum biasa lihat adalah sesi-sesi motivasi sebelum peperiksaan besar di sekolah-sekolah dan juga kem-kem motivasi atau kepimpinan.
Selain itu, dahulu setiap kakitangan kerajaan mempunyai kuota 7 hari berkursus yang mereka perlu capai dalam tempoh setahun. Ini mewujudkan banyak peluang untuk trainers menjalankan latihan dengan sektor awam yang ternyata besar dari segi jumlahnya. Hampir setiap bulan akan ada kursus, seminar, atau bengkel yang merangkumi pelbagai topik-topik popular seperti penyeliaan berkesan, pengurusan masa, komunikasi dan kerja berpasukan.
Walaupun saiz pasaran latihan untuk pelajar (dari sekolah rendah hingga ke pelajar institut pengajian tinggi) dan penjawat awam (sekitar 1.7 juta orang) dilihat sebagai besar dan berterusan (setiap tahun ada pelajar baharu dan setiap tahun penjawat awam perlu hadiri kursus), pendapatan purata seorang trainer daripada program-program latihan yang dijalankan dalam sektor pasaran ini selalunya agak rendah. Ini kerana peruntukan untuk satu-satu program latihan adalah terhad dan biasanya mengikut pekeliling yang terguna pakai sejak sekian lama, trainer akan dibayar mengikut kadar sejam berdasarkan latar belakang pendidikan. Sebagai contoh, jika seorang trainer itu mempunyai diploma sebagai tahap pendidikan tertinggi, beliau akan dibayar RM250 sejam untuk 6 jam sehari (bayaran tidak dikira untuk waktu rehat) bagi satu program yang dijalankan untuk sebuah badan kerajaan.
Bagi pasaran korporat pula, mungkin sedikit sukar untuk seseorang trainer freelance menjual program secara langsung kerana kebanyakan organisasi hanya akan berurusan secara B2B (business-to-business) yang mana transaksi khidmat latihan perlu dilakukan oleh sebuah syarikat yang berdaftar dengan sistem perolehan mereka yang turut mengenakan syarat-syarat yang agak ketat seperti penyata akaun beraudit dan sebagainya. Tambahan pula, mereka akan menjalankan analisis keperluan latihan (training needs analysis, TNA) yang membantu mereka mengenal pasti topik khusus yang diperlukan bagi meningkatkan kompetensi kakitangan mereka, ataupun bagi memenuhi satu-satu syarat dan peraturan. Topik-topik mereka ini cenderung untuk jadi lebih spesifik dan memerlukan “customization” berbanding topik umum yang popular.
Namun begitu, menjalankan bisnes latihan untuk pasaran sektor korporat menjadi lebih berbaloi kerana nilai yuran latihan biasanya lebih tinggi kerana boleh mencecah puluh-ribuan ringgit bagi satu-satu program khusus yang mereka perlukan. Jika mengikut syarat had maksimum perbelanjaan latihan “HRD Corp Claimable Course”, program latihan “in-house” adalah RM6,000 sehari, dan RM1,300 seorang bagi “public courses”.
Malah, sejak Mac 2021, melalui pengembangan Akta PSMB 2001, kebanyakan majikan dari sektor swasta kini wajib mencarum ke tabung pembangunan sumber manusia (HRD fund) yang diselia oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bagi memastikan latihan untuk kakitangan pekerja swasta dijalankan dalam usaha meningkatkan keupayaan tenaga kerja dalam negara. Melalui inisiatif ini, sehingga Disember 2021, sebanyak lebih 67,000 majikan merangkumi hampir 4 juta pekerja telah berdaftar dengan HRD Corp. Jumlah ini membolehkan pada tahun 2021 sahaja, lebih RM848 juta terkumpul dalam tabung HRD dengan RM370 juta dibelanjakan untuk latihan bagi pasaran ini. Secara tidak langsung, pasaran ini menjadi pasaran yang berpotensi besar kerana dana yang diperuntukkan sudah tersedia dan sememangnya perlu dibelanjakan.
Oleh yang demikian, perkara paling asas dan penting sebelum memulakan bisnes latihan di Malaysia adalah untuk memilih pasaran yang sesuai dengan topik latihan yang dibawa. Topik latihan perlu sesuai dengan golongan sasaran dan pasaran tersebut akan menentukan strategi bisnes seterusnya.
Sebagai contoh, jika memilih untuk memasarkan latihan kepada sektor korporat yang mencarum ke tabung HRD, maka tiga (3) syarat yang perlu dipenuhi adalah:
- Trainer perlu berstatus “HRD Corp TTT Certified” atau layak mendapat pengecualian daripada hadir ke kursus persijilan “HRD Corp Train-The-Trainer”.
- Syarikat penyedia khidmat latihan perlu berdaftar sebagai “HRD Corp Registered Training Provider”
- Program latihan yang ditawarkan perlu didaftarkan sebagai “HRD Corp Claimable Course”
Ini bagi melepasi ‘halangan-halangan’ awal atau “rejection” yang mungkin timbul untuk mereka menuntut semula perbelanjaan latihan daripada tabungan mereka. Sekiranya benar-benar ingin menembusi pasaran ini, saya syorkan ada rujuk dan baca secara terperinci apa yang ada pada laman sesawang HRD Corp.
Setelah anda jelas tentang pasaran mana dan siapa peserta yang disasarkan, maka seperti mana-mana bisnes lain, rancanglah strategi dan bina model bisnes dengan baik dan teratur. Mudah-mudahan artikel ini serba sedikit telah membantu anda.
Together, let’s #MakeTrainingAccessible
Ahmad Fauzan Othman
Lead Trainer for HRD Corp Train-The-Trainer Certification Course by Access Ideas Malaysia

