• Skip to primary navigation
  • Skip to main content
  • Skip to footer
Access Ideas

Access Ideas

Make Training Accessible

  • Home
  • About Us
  • Programmes
    • HRD Corp Training Programmes
      • HRD Corp Train The Trainer (TTT)
    • AIM Signature Programmes
      • Train-The-Trainer: NEXT STEP
      • Instructional Design 101
      • Trainer’s Training Technique Refresher Course
      • Coaching & Mentoring
      • Trainer’s Development Workshop
    • HRD Corp Claimable Programmes
    • AIM Safe Programme
    • Training Programme Registration
  • AICPT
  • Registration
  • Blog
  • Contact Us

Bertanya Soalan

Perbuatan yang paling mudah dan paling sukar adalah bertanya soalan.

Sebahagian besar kita dibesarkan dalam persekitaran yang masih berpegang kepada etika dan moral yang mengutamakan ciri-ciri pasif. Mungkin ada yang salah faham dan menganggap beradab itu sebagai “lemah”. Tidak dinafikan ini tidak dibantu oleh perangai sesetengah orang yang terlebih ekstrim pasifnya sehingga tidak berpendirian atau tidak mampu bersuara apabila perlu.

Budaya orang Timur adalah budaya yang kuat sopan dan santunnya. Kita diajar supaya sentiasa merendah diri dan jangan bercakap besar. Ini sangat bertentangan dengan cara fikiran moden yang menggalakkan ekspresi diri berlebihan serta keberanian melontarkan pendapat atau berhujah tanpa menimbang kesannya.

Akan tetapi, ada ketikanya kita perlu boleh bercerita tentang keupayaan diri dan melontarkan pendapat. Sebagai contoh semasa ditemuduga untuk mendapatkan kerja. Di sini bukan tempatnya untuk merendah diri. Kita perlu yakin dengan kebolehan sendiri dan mampu ceritakan kelebihan yang kita ada hasil daripada pengalaman yang telah ditimba.

Satu lagi tabiat yang sangat penting dan perlu kita pupuk adalah keberanian untuk bertanya soalan.

Kita dididik supaya hormat orang lain dan jangan suka menyampuk. Namun begitu, dalam belajar atau sedang kita usaha untuk memahami sesuatu perkara, kita perlu “menyelit” untuk dapatkan penjelasan sebelum terlepas peluang tersebut.

Malangnya, ada yang menganggap bertanya soalan ini sebagai perbuatan provokasi. Ya, ada kalanya akan ada yang bertanya soalan dengan niat yang menyeleweng. Kitalah yang patut cukup bijak untuk kenal perbezaan antara yang bertanya kerana benar-benar mahu tahu atau bertanya untuk “cari pasal”. Itu bahagian yang ditanya.

Bagi yang bertanya pula, kita kena berlatih untuk bertanya soalan dengan baik. Maksud “dengan baik” termasuk peka pada situasi (masa dan tempat), serta pemahaman maksud (sintaks ayat dan pilihan perkataan) dan tahap penerimaan orang yang ditanya (emosi dan ego).

Namun, halangan pertama yang kita perlu atasi adalah persepsi kita mengenai perbuatan “bertanya” itu sendiri. Kita perlu berani “malu” kelihatan “bodoh” pada kaca mata orang lain kerana bertanya soalan berbanding “nampak pandai” sebab hanya diam dan terlepas peluang keemasan untuk dapatkan kepastian.

Harus diingat bahawa soalan yang paling baik adalah soalan yang kita sanggup tanya. Hanya dengan bertanya, kita ada peluang dapat jawapan. Buang istilah “soalan bodoh” daripada kamus diri – baik sebagai orang yang bertanya soalan, mahupun orang yang ditanya soalan.

Footer

Contact Us

ACCESS IDEAS (M) SDN BHD
L01-46 & L02-80,
Menara Shaftsbury Putrajaya,
Jalan Alamanda, Presint 1,
62000 Putrajaya,
Wilayah Persekutuan Putrajaya

Tel: 011-5636 4100 Tel: 011-7019 5699
  • Facebook
  • Instagram
  • LinkedIn
  • YouTube

Copyright © 2025 ACCESS IDEAS (M) SDN. BHD. (1114005D). All rights reserved. Terms & Conditions